BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Thursday, July 23, 2009

KARYAKU YANG MENDAPAT TEMPAT SEBAGAI HADIAH SASTERA DARUL TA'ZIM BAWAH 19 TAHUN....19 TAHUN???? HEHE

SEKAWAN RERAMA
(kategori PUISI)

Sekawan rerama
terbang tinggi mencari madunya
di kelopak bunga
yang kini semakin hilang
ditelan pembangunan kejam
hutan-hutan batu.

Sekawan rerama
terbang lagi
mencari dedaunan pohon
untuk dihinggapi membuat sarang
namun segala ranting kehidupannya
rapuh tersungkur
di kaki pembalakan haram
manusia yang menelan
segala kekayaan anugerah Tuhan.

Sekawan rerama
terbang lagi
dengan tekad penghijrahan
kerana daerah tercintanya kini
menggamit sepi
tiada lagi nyanyian unggas
yang mewarnai rimba harapan ini.

Sekawan rerama
tertanya-tanya kini
ke manakah harus pergi?


RUMAH RAMBONG
(kategori CERPEN)

Kehijauan alam mula pudar warnanya. Tiada lagi deretan pohon yang merupakan istana impianku dan saudara-maraku yang lain. Sejak semalam, hujan telah turun dengan lebatnya. Air yang mencurah-curah itu menyerang bumi daksina ini bagaikan meratah dengan lahapnya batu-batu kerikil yang sejak dahulu merupakan pasak bumi. Takungan di atas bukit yang agak tinggi itu semakin dipenuhi air, menyebabkan hamburan ganas menerjah persekitaran alam. Pohon balak dan tumbuhan kecil yang lain menggelongsor dengan lajunya hingga daerah tercinta ini hilang dari pandangan mata.
Aku mula dirundung rasa cemas apabila melihat keadaan itu. Mungkin disebabkan oleh cengkaman akar yang tidak padat dan padu, banyak pokok telah tumbang lalu menelusuri ratusan liku bukit mengikut aliran air yang melimpah tidak berhenti.
“Rambung, cepat bergayut pada pokok tu! Panggil saudara-mara dan kawan-kawan kita yang lain!” Mendengar saja sergahanku itu, Rambung bergegas bergayut dari satu pokok ke satu pokok yang lain sambil mulutnya bising memberikan tanda amaran bahaya.
“Cepat selamatkan diri sebelum pokok-pokok di sini musnah dilanda banjir lumpur! Lihat di hujung sana, semuanya musnah!” Aku semakin bersemangat menyelamatkan diri sambil memberi arahan kepada binatang-binatang yang lain. Desah lumpur yang menjilat segala yang ada mewujudkan satu dentuman dan ngauman yang sungguh mengerikan. Aku masih lagi tercari-cari isteri dan anak-anakku. Namun, mereka tidak juga kelihatan. Aku hanya mampu berdoa agar keluargaku selamat. Aku juga berharap agar aku dan juga yang lain sempat melarikan diri dengan sepantas mungkin menuju ke arah barat yang belum dimusnahkan oleh rakus pembalakan haram.
Setelah aku berjaya menyelamatkan diri di kawasan yang tidak disinggahi oleh banjir lumpur, aku menoleh ke arah perkampunganku. Air mataku mengalir kerana yang ada hanyalah daerah kenangan yang disambar tragedi ngeri. Dari jauh, kulihat arus semakin mengganas menuju ke alur sungai.
“Tempang.”
Aku masih lagi merenangi memori hitam semalam.
“Tempang, sudahlah. Kausepatutnya bersyukur kita selamat. Aku harap, esok atau lusa kita pasti bertemu dengan isteri dan anakmu.”
“Tetapi bagaimana kalau mereka adalah mangsa banjir lumpur tersebut? Aku akan kehilangan mereka, Rambung.”
“Sabarlah, Tempang. Kita berdoa saja kepada Tuhan semoga kau akan bertemu dengan mereka.” Aku masih lagi terhinggut-hinggut, memandang ke arah kiri dan kanan kalau-kalau pandanganku menemukan aku dengan insan yang tersayang, namun segalanya hampa.
Tangan kananku masih lagi menggaru-garu tubuhku. Debu lumpur memenuhi di setiap bulu yang membalut tubuhku. Aku memandang pula ke arah kaki kiriku yang telah kudung. Peristiwa tiga tahun lalu yang menghijau kembali ke dalam lipatan kenanganku. Keinginan untuk menikmati sebiji pisang akhirnya membawa padah apabila rupa-rupanya itu hanyalah satu perangkap. Kakiku tersepit dicelah takupan besi yang digunakan untuk memerangkap musang. Aku bersyukur kerana pemburu itu tidak menembakku, sebaliknya melepaskanku dengan perasaan marah yang meluap-luap di dalam hatinya. Dengan terhenjut-henjut aku melarikan diri bersama lelehan darah merah yang pekat di pangkal betisku. Bisa yang kutanggung hanya Tuhan saja yang mengetahuinya.
“Tempang, aku rasa aku mahu mencari makanan. Di sini tidak ada lagi daun-daun muda untuk kita makan.”
“Rambung, aku tidak ada selera untuk makan.”
“Kau harus meneruskan hidup ini, Tempang. Jika engkau mahu menemui anak dan isterimu. Oleh itu, kau perlu makan. Aku dengar tidak jauh dari sini ada kawasan perumahan. Khabarnya, banyak makanan yang dibuang di dalam tong sampah. Beberapa orang kawan kita telah mencuba nasib di sana.”
***
Daerah ini begitu asing bagiku. Kalau dahulu, aku mencari makanan di hutan yang dipenuhi dengan daun-daun muda, tetapi kini hutan batu menjadi daerah rezekiku yang baru. Di kawasan perumahan ini asalnya adalah kawasan hutan yang dipenuhi dengan flora dan fauna. Sewaktu zaman remajaku, aku pernah datang ke sini kerana bagitulah kehidupan kami yang akan sentiasa berpindah-randah dari satu tempah ke satu tempat yang lain untuk mencari pucuk-pucuk muda. Dalam mencari rezeki kulihat banyak khazanah alam yang sangat berguna untuk manusia. Pokok Tongkat Ali, Kacip Fatimah, Tunjuk Langit, Mas Cotek, dan sebagainya tumbuh dengan subur. Kini, segalanya dinodai oleh manusia yang gilakan pembangunan. Perumahan demi perumahan dibina di lereng bukit. Anehnya, manusia berlumba-lumba mendiami kawasan yang kononnya elit itu.
“Tempang! Lihat di sini, banyak makanan di dalam tong sampah ini. Di sini, penghuninya orang-orang kaya. Kaulihat ini, roti, nasi, dan biskut-biskut dibuang tanpa memikirkan rezeki yang dikurniakan Tuhan. Tetapi mungkin ini rezeki kita. Pembaziran mereka membawa rahmat pula kepada kita.”
Kulihat bukan aku dan Rambung sahaja yang menggeledah tong-tong sampah. Tetapi, juga dilakukan oleh monyet-monyet yang lain.
“Rambung, aku ingin menuju ke hujung sana. Di situ banyak sekumpulan monyet. Mana tahu kalau-kalau aku dapat menemui isteri dan anakku.”
Aku dan Rambung segera menuju ke destinasi yang di maksudkan, walaupun aku cacat, aku mampu menggagahi diriku untuk bergerak pantas.
“Abang!”
“Bunga!” Seperti tidak percaya rupa-rupanya aku bertemu dengan isteri kesayangaku. Aku terus memeluk isteriku dengan penuh kesyukuran.
“Bunga, mana anak-anak kita?”
Bunga menangis teresak-esak, “Hanya Comel sahaja yang selamat, bang. Itam dan Panjang, semuanya dihanyutkan banjir lumpur. Comel tidak sihat, bang. Dia ada di pohon sena si hujung sana. Badannya dipenuhi kudis, bibirnya berdarah.”
Tiba-tiba, aku terperanjat. Dentuman yang dahsyat bergema memenuhi ruang alam.
“Monyet durjana, mampus kau!” jerkah lelaki yang berusia 50-an yang dengan sombongnya masih mengacukan senapang ke arah kami.
“Ya Allah, Rambung!” Aku hanya mampu melihat tubuh Rambung yang kaku dibaluti darah pekat.
“Bunga, cepat lari! Kita tinggalkan tempat ini!”
Ternyata daerah ini walaupun mewah dengan rezeki tetapi tidak selamat untuk kami. Ke manakah kami harus pergi membawa diri? Hutan-hutan telah musnah dek pembalakan haram dan hutan-hutan juga musnah dek keghairahan manusia membina perumahan. Bagaimanan nasib generasi kami? Kamu juga punya hati dan perasaan. Seperti manusia, kami juga menginginkan kehidupan yang sejahtera.
***
Sejak peristiwa itu, aku tidak berani lagi mencari makanan di kawasan perumahan. Aku kembali semula ke kawasan hutan yang keluasannya tidak seluas mana. Di situlah kami sekeluarga berlindung.
Tiba-tiba, aku terdengar bunyi siren yang menerjah ke gegendang telingaku. Rupa-rupanya, bunyi siren tersebut adalah pihak berkuasa dengan kerjasama Jabatan Perhilitan dan Alam Sekitar. Mereka berjaya menangkap peneroka pembalakan haram dan pengusaha taman perumahan tersebut kerana meneroka dan membina perumahan tanpa izin daripada pihak kerajaan. Pihak Jabatan Perhilitan dan Alam Sekitar sebenarnya dalam usaha untuk mengurangkan kes pembalakan haram dalam melestarikan alam flora dan fauna di Negara kita yang kian hilang dan pupus mengikut peredaran masa.
Dari jauh, aku melihat pengkhianat alam itu masuk ke dalam perut kereta polis tersebut. Dalam hatiku, aku bersyukur kerana dalam dunia yang penuh dengan kejahatan ini, rupa-rupanya masih ada yang mempunyai nilai simpati dan cinta akan alam sekitar. Aku tersenyum sambil memeluk erat anak dan isteriku, bahagia.

0 comments: