BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Saturday, July 25, 2009

CETUSAN IDEA NUKILAN MINDA....:)

CymbopogonNardus.com.my

“Pokok serai wangi ialah rumput saka yang tinggi dan berbau wangi. Ia mengeluarkan rumpun daun yang lebat daripada rizom yang padat dan boleh membesar sehingga 1 hingga 1.5 meter tinggi. Daun sesilnya berwarna hijau dengan saiz 60 sentimeter panjang x 2.5 sentimeter lebar. Hujung daunnya adalah runcing dan tajam. Batangnya pula tidak berkayu dan mempunyai sarung daun yang berperanan sebagai batang palsu. Sementara akar atau rizomnya padat dan merayap,” ujarku panjang lebar memberikan keterangan mengenai tumbuhan herba yang bermanfaat itu.
“Cikgu Maria, betul ke daun serai wangi dapat menghilangkan bau hanyir? Ibu saya selalu menggunakannya untuk menghilangkan bau hanyir pada daging kambing,” tanya Syafina yang duduk di hadapan kelas.
“Ya, benar kata kamu tu. Daun serai wangi bukan sahaja dapat menghilangkan bau hanyir pada daging kambing malah pada daging itik juga,” jawabku sambil tersenyum.
“Selain itu juga, daun serai wangi yang dibalut dengan besi atau batu panas digunakan untuk tuaman dan bertungku pada kawasan urat saraf yang lemah, penyakit bias otot-otot, sendi, mengecutkan rahim yang bengkak, memecahkan lendir, darah, dan angin,” tambahku sambil meneliti fakta yang kudapat daripada Internet mengenai serai wangi ditanganku. Kemudian, aku mengalihkan pandangan ke tengah kelas. Aku memandang wajah para pelajarku yang begitu tekun dan tidak sabar-sabar ingin mendengar peneranganku dengan lebih lanjut.
“Cikgu!” panggil Vellu sambil mengangkat tangan kanannya.
“Ya, Vellu,” sahutku.
“Daun serai wangi juga boleh digunakan untuk mandian ibu-ibu dalam pantang selepas bersalin, kan?” tanya Vellu mencari kepastian daripadaku.
“Daripada mana awak tahu?” soalku semula tanpa menjawab pertanyaannya.
“Mak saya yang kata. Kenapa? Salah ke, cikgu?”
“Siapa kata salah? Memang betul apa yang mak awak kata tu. Air rebusan daun serai wangi yang lebih baik dicampurkan dengan daun sirih dan gandarusa digunakan sebagai mandian ibu-ibu dalam berpantang selepas bersalin dan untuk penyakit lemah otot dan juga sendi,” kataku membuatkan Vellu tersenyum. Mungkin berpuas hati dengan kenyataan ibunya yang betul.
“Asyik saya saja yang bercakap, sekarang giliran kamu pula yang bercakap. Siapa yang ada bahan atau apa-apa fakta mengenai serai wangi? Chong?” tanyaku pada pelajarku yang tinggi lampai itu. Serta-merta Chong bangun dan terus membaca lampiran yang dipegangnya.
“Saya mendapat fakta ini daripada buku herba kepunyaan ibu saya yang mengatakan bahawa batang serta akar serai wangi dapat membantu mengubati masalah sakit perut dan memecahkan gumpalan angin serta melepaskan angin melalui dubur iaitu kentut dan melalui mulut iaitu sendawa,” terang Chong penuh yakin.
“Betul seperti apa yang dikatakan Chong sebenar tadi. Terima kasih, Chong. Sila duduk,” arahku dan Chong terus duduk di kerusi plastik berwarna krim itu.
“Ada lagi selain tu? Ya, Radzi. Apa yang awak dapat?”
“Batang dan akar serai wangi juga dapat membantu mengimbangi kestabilan hormon dalam badan dan juga membantu dalam melawaskan serta melancarkan pembuangan air kecil,” jawabnya agak teragak-agak.
“Ya, betul tu. Selain itu, batang dan akarnya berguna di dalam…”
“… masakan bagi menambahkan aroma hidangan serta membantu meringankan keadaan keracunan makanan. Jika ia dicampur dengan rempah ratus, ia akan mempunyai khasiat bagi merawat kesihatan system dalaman badan.” Belum pun sempat aku menghabiskan ayatku, Cikgu Farizul telah memotong kata-kataku. Entah daripada mana dia muncul, tiba-tiba saja sudah terpacak di belakang kelas. Mungkin aku telah melebihi masa mengajarnya.
“Maaf cikgu kalau saya dah terlebih guna masa mengajar cikgu,” ujarku selepas para pelajar Tingkatan 4 terbilang memberikan salam hormat kepadaku.
“Tak mengapa, lagipun saya sendiri teruja dengan kelas awak ni sampaikan saya tak sedar dah masuk waktu saya,” kata Cikgu Farizul sambil meletakkan buku-buku yang dibawanya di atas meja di depan kelas.
“Teruja? Maksud cikgu?” soalku sambil mengerutkan dahi tanda tidak mengerti dengan apa yang dikatakannya.
“Maksud saya, saya juga meminati alam herba ni,” ujarnya.
Aku hanya mengangguk sambil tersenyum. Selepas meminta diri untuk keluar, aku mula berfikir sendirian mengenai cadangan Cikgu Farizul untuk membina sebuah laman web mengenai serai wangi ataupun tumbuh-tumbuhan herba yang lain. Aku bersetuju dengan pendapat yang selama ini tidak pernah terlintas di fikiran mahupun dibenakku. Namun, itu semua masih tidak pasti kerana Cikgu Farizul sendiri tidak memastikannya lagi.

Aku menanda buku nota milik Aryan. Selepas itu buku nota milik Wardah, Kusyairi dan seterusnya iaitu para pelajar Tingkatan 4 Terbilang. Buku nota yang sarat dengan pelbagai info menarik mengenai tumbuhan herba itu satu-satunya yang wujud di dalam kelasku. Sengaja aku menggunakan dua masaku dalam seminggu yang sebenarnya digunakan untuk subjek Bahasa Melayu untuk mempelajari pelbagai herba di Malaysia.
Aku telah meminta pendapat daripada Tuan Pengetua sebelum memulakan sesi pembelajaran itu lagi dan beliau menyetujuinya. Tujuan subjek itu diadakan untuk mengenalkan pada generasi masa kini tentang tumbuhan herba yang semakin dilupakan kepenggunaan. Dan aku berharap apabila subjek ini diperkenalkan di dalam kelasku walaupun tidak diperluaskan secara rasmi, para pelajarku sedikit sebanyak mengetahui pelbagai jenis tumbuhan herba yang masih lagi digunakan sehingga kini secara meluas namun kita tidak menyedarinya.
Aku masih ingat lagi sewaktu aku berumur sepuluh tahun. Ketika itu musim hujan dan hujan telah turun dengan lebatnya menyebabkan kawasan kampungku banjir dinaiki air. Nasib baik juga rumahku sebuah rumah kampung yang dibina secara tinggi. Jadi, kami sekeluarga tidak perlu berasa risau untuk memikirkan kemungkinan bahawa air akan masuk ke dalam rumah.
Namun begitu, terdapat masalah lain yang dihadapi oleh kami iaitu serangan daripada nyamuk yang banyak. Mungkin disebabkan banjir maka banyaklah tempat-tempat air bertakung yang membawa kepada pembiakan nyamuk. Pada masa yang sama, kami kehabisan ubat nyamuk dan tidak boleh untuk membelinya kerana banjir yang teruk.
“Ibu, banyak nyamuklah!” rungutku pada ibu sambil tergedik-gedik menggaru tempat yang digigit serangga kecil tapi berbahaya itu di lengan. Kemudian beralih pula ke tengkuk dan kaki. Dalam kesamaran cahaya lampu gasolin berwarna kuning terang itu, aku dapat melihat bahawa tubuhku habis berbintat di sana sini.
Ibuku yang sedang melipat pakaian terus bangun dan melangkah masuk ke dalam bilik. Keluar saja dari dalam bilik, ibu membawa balang berupa seperti botol kicap di tangan kirinya. Tangan kanannya pula membawa sebuah mangkuk yang dalamnya terisi dengan daun-daun kira-kira 10 sentimeter panjang yang diikat dalam satu ikatan dan dijadikan satu rumpun.
“Ibu, nak buat apa ni?” soalku lagi ingin tahu.
Namun, ibu masih lagi diam membisu tidak mengendahkan pertanyaanku. Tapi ibu terus menuangkan cecair dari dalam balang yang dipegangnya ke dalam mangkuk sederhana besar itu sehingga separuh penuh. Selepas itu, ibu mengacau-ngacau cecair tersebut dengan rumpunan daun yang tersedia di dalamnya. Kemudian, ibu terus berjalan sambil menrenjis-renjiskan cecair tersebut di seluruh ruang legar rumah kami. Aroma wangi yang menyegarkan dan menusuk hingga ke rongga hidungku mula memenuhi di setiap sudut rumah.
“Ibu, bau apa ni? Wanginya!” jeritku keriangan kerana gemar berada dalam keadaan begitu. Ibu hanya tersenyum sambil duduk semula untuk menyambung melipat kain yang tergendala tadi.
“Bukan setakat wangi saja, nyamuk pun dah kurang, kan?” ujar ibu seraya memandang ke arahku. Aku memandang ke sekeliling. Ya, memang benar bilangan nyamuk semakin berkurang dan tidak banyak seperti tadi sehinggakan boleh dilihat oleh kedua belah mataku.
“Air apa yang ibu renjiskan satu rumah tadi?” soalku lagi kerana benakku diterjah rasa ingin tahu yang membuak-buak. Namun ibu masih lagi tersenyum tidak menjawab pertanyaanku. Esoknya, barulah ibu memberitahuku bahawa cecair tersebut adalah minyak serai wangi yang dipercayai dapat menghalau serangga misalnya nyamuk. Sehingga sekarang, aku masih menggunakan ramuan istimewa turun-temurun keluarga ibu itu tanpa menggunakan penghalau serangga yang berada di pasaran yang mengandungi pelbagai bahan kimia berbahaya.

“Macam mana dengan cadangan saya mengenai pembinaan laman web serai wangi tu, Cikgu Maria?” tanya Cikgu Farizul seraya duduk di hadapanku. Ketika itu, aku sedang menyiapkan sesuatu di pondok bacaan bersebelahan dengan bilik guru. Sengaja aku duduk di situ kerana menggemari suasananya yang tenang lebih-lebih lagi terdapat beberapa rumpun serai wangi yang menghidupkan suasana dengan aromanya yang menyegarkan.
“Saya tak pasti lagi. Lagipun saya kekurangan bahan mengenai serai wangi yang katanya menjadi bahan industri kimia yang penting,” ujarku berterus-terang.
“Saya ada mengenai fakta tersebut,” ujar Cikgu Farizul sambil mengeluarkan sehelai kertas bertaip dari dalam failnya lalu menyerahkannya kepadaku. Aku berhenti menulis dan menyambut kertas tersebut dengan dahi berkerut.
“Sebenarnya, serai wangi atau nama saintifiknya Cymbopogon Nardus mengandungi pelbagai bahan kimia yang semula jadi, antaranya Caryophllene dan Citronello. Kandungan kimianya lebih banyak didapati pada batang dan daun. Apabila batang dan daun dihaluskan, lalu dicampurkan dengan pelarut, ia akan menghasilkan minyak pati yang mengandungi sitral, Citronello, geraniol, mirsena, nerol, farsenol methyl heptenon, dan dipentena,” terang Cikgu farizul panjang lebar sama seperti dalam lampiran yang diberikan kepadaku tadi.
“Citronello, sejenis bahan kimia yang terdapat pada serai wangi mempunyai manfaat yang besar dalam menghalau serangga terutama nyamuk. Ini kerana ia mempunyai sifat racun yang boleh menyebabkan kematian serangga dan nyamuk. Sifat semula jadi Citronello akan menyebabkan serangga atau nyamuk yang menghampirinya kehilangan cairan tubuh secara terus-menerus hingga dapat menyebabkan kematian,” tambah guru muda yang mengajar subjek Biologi itu.
Tiba-tiba, kotak fiiranku muncul satu idea yang bernas. Kulihat kening Cikgu Farizul terangkat-angkat. Mungkin tidak mengerti mengapa aku tersenyum-senyum sendiri.
“Kita bukan saja boleh membina laman web, malah kita juga boleh buat duit,” ujarku dalam nada sedikit berbisik membuatkan dahinya semakin berkerut-kerut masih tidak mengerti.

“Dengan itu, maka rasmilah pembukaan laman web CymbopogonNadrus.com.my dan penjualan Minyak Serai Wangi!” kata Cikgu Farizul merangkap pengerusi majlis di dalam majlis pelancaran tersebut selepas tuan Pengetua menekan butang kekunci ‘Enter’ pada papan kekunci ‘notebook’ itu.
Aku dan para pelajar Tingkatan 4 Terbilang yang menjadi tulang belakang dalam melancarkan lagi majlis pembukaan dan pelancaran tersebut tersenyum bangga di tepi pentas. Aku sendiri tidak menyangka bahawa subjek berkaitan dengan tumbuhan herba di dalam kelasku telah membawa kepada terbinanya laman web serai wangi dan penjualan minyak sebagai penghalau serangga dan nyamuk.
Daripada jauh, aku melihat Cikgu Farizul yang berada di atas pentas. Kami sama-sama tersenyum dan berpuas hati dengan kejayaan kami dalam memartabatkan tumbuhan herba sebagai satu batu loncatan untuk mengenalkan kepada masyarakat bahawa ia amat berguna.
Dalam hatiku, kuntum gembiraku mula berbunga riang dan berkembang mekar…
ELEVATOR : 2020

Gadis itu masih merenung ke luar dari tempat duduknya di tepi tingkap. Bersendirian. Menyaksikan panorama indah yang terhampar menghijau menyejukkan mata yang memandang, juga bersendirian tanpa satu pun teman di sisi. Tiada sesiapun untuk dia berkongsi nikmat pancaindera yang dirasainya saat ini.
Syaqilla masih duduk di situ tanpa mengendahkan suasana kelas 3 Musytari yang hangar-bingar dengan suara penghuninya yang bising dan membuang masa dengan berbual-bual kosong akibat ketiadaan guru. Seperti tiada kerja saja lagaknya. Namun itu semua tidak menggangu dirinya untuk terus menyepikan diri dengan mengagumi alam ciptaan Yang Maha Esa ini kerana dia telah sebati dengan keadaan itu.
Sesekali Syaqilla mencoret sesuatu di dalam buku notanya yang sedia terbuka itu. Hobinya memang gemar menulis. Tidak kiralah dia berada di mana pun, pasti pena dan buku nota yang comel berada di dalam genggamannya. Syaqilla amat disenangi rakan-rakan serta guru-guru kerana tabiatnya itu. Namun, selepas di disahkan menghidap satu penyakit yang pelik, Syaqilla seakan dipinggirkan lebih-lebih lagi di kalangan rakan sekelasnya.
Pada suatu petang ketika Syaqilla sedang menjalani latihan bola jaring di sekolah, tanpa diduga dia telah terjatuh menyebabkan betisnya terluka. Pada fikiran jurulatih, luka yang dialami Syaqilla adalah luka biasa tetapi lukanya itu mengalami pendarahan yang berlarutan. Apabila Syaqilla dihantar ke hospital untuk menerima rawatan lanjut, dia telah disahkan oleh doktor bahawa Syaqilla seorang penghidap haemofilia.
Haemofilia ialah sejenis masalah pendarahan yang disebabkan kekurangan sejenis protein yang dipanggil faktor pembekuan darah VIII (8) dan XI (9). Secara ringkasnya, haemofilia menyebabkan pendarahan berlaku lebih lama berbanding individu normal. Kewujudan haemofilia jarang berlaku dan ia hanya membabitkan satu kes bagi setiap 10 000 kelahiran.
Haemofilia boleh dibahagikan kepada dua jenis iaitu haemofilia A (jika kekurangan faktor pembekuan VIII) dan haemofilia B (akibat kekurangan faktor pembekuan XI). Namun kedua-duanya mengalami masalah yang sama.
Haemofilia adalah masalah keturunan yang diwariskan kepada anak melalui kromosom X iaitu bahan baka yang menentukan jantina wanita. Ia tidak berjangkit atau membahayakan orang lain. Bagaimanapun, adakalanya haemofilia boleh berlaku secara tiba-tiba walaupun tiada sejarah keluarga iaitu apabila kromosom X mengalami mutasi. Kajian menunjukkan mutasi kromosom X menyebabkan 30% kes haemofilia di seluruh dunia.
Untuk membentuk jantina perempuan, seseorang itu perlu mempunyai dua kromosom X (XX) dab lelaki pula memerlukan satu kromosom X dan Y (XY). Ketika persenyawaan., salah satu kromosom dari ibu akan berpasangan dengan satu kromosom daripada ayah (membentuk sama ada XX atau XY iaitu anak perempuan atau lelaki).
Jika bapa adalah pembawa haemofilia dan ibu seorang yang normal, bermakna semua anak lelaki bebas daripada masalah ini. Sebaliknya anak-anak perempuan akan menjadi pembawa genetik haemofilia. Jika ibu adalah pembawa dan bapa pula normal, anak lelakkinya mempunyai kebarangkalian 50% mengalami haemofilia dan 50% kebarangkalian anak perempuan menjadi pembawa. Sebaliknya, jika ibu adalah pembawa dan ayah pula mempunyai masalah haemofilia, semua anak akan mengalami haemofilia termasuk anak perempuan tetapi ia jarang berlaku.
Haemofilia boleh dibahagikan kepada tiga tahap masalah iaitu haemofilia ringan, sederhana, dan serius. Haemofilia ringan merupakan satu aktiviti faktor pembekuan darah yang berlaku antara 5 hingga 30%. Golongan ini mungkin mengalami pendarahan berpanjangan selepas pembedahan atau kemalangan teruk. Mereka juga mungkin mengalami pendarahan, tidak kerap berdarah, atau tiada pendarahan kecuali luka.
Haemofilia sederahana pula berlaku apabila faktor pembekuan darah di antara 1 hingga 5%. Golongan ini mungkin mengalami pendarahan yang lama selepas pembedahan, kemalangan teruk, atau selepas memerima rawatan gigi. Malah mereka ini juga mengalami pendarahan sekali setiap bulan.
Haemofilia serius berlaku apabila aktiviti pembekuan darah kurang daripada 1%. Mereka yang berada di dalam golongan ini kerap mengalami pendarahan pada otot dan sendi terutamanya di bahagian siku, lutut, dan buku lali. Pendarahan pula berlaku satu atau dua kali seminggu tanpa sebab.
Akibat penyakit yang datang menyerang secara tiba-tiba itu, Syaqilla disarankan supaya sentiasa berhati-hati dan ditegah daripada menyertai mana-mana aktiviti lasak terutamanya yang banyak melakukan pergerakan seperti melompat, berlari, atau bersentuhan badan dengan orang lain seperti sukan bola jaring. Mahu tidak mahu, Syaqilla terpaksa menerima takdir Allah dengan redha dan mengorbankan gelarannya sebagai seorang atlet sekolah di dalam sukan tersebut walaupun dia amat menyayanginya. Tapi dia lebih menyayangi nyawa dan kesihatan dirinya. Kalau dia masih lagi berdegil untuk bersukan, dia mungkin akan memudaratkan diri sendiri.
Oleh sebab penyakit itu jugalah, Syaqilla dipulaukan rakan-rakannya kerana ada pihak yang tidak bertanggungjawab menyebarkan fitnah bahawa penyakit yang dialami Syaqilla boleh berjangkit melalui sentuhan kulit. Bagi yang tidak mengerti masalah penyakit itu pasti dengan mudah mempercayainya. Cuma beberapa orang rakannya yang memahami serta bersimpati dengan keadaan yang sebenar cuba memberikan kata-kata semangat supaya Syaqilla lebih kuat menjalani hari-hari yang mendatang.
Syaqilla masih duduk di situ. Matanya tidak lagi tertumpu pada suasana indah di luar sana. Kotak memorinya teringat pada projek Sains yang diarahkan oleh En. Samuel Chong dikelasnya semalam. Sebenarnya, projek itu perlu dilakukan dalam sebuah kumpulan tetapi tiada siapa yang ingin mengambilnya untuk menjadi ahli kumpulan mereka. Mahu tidak mahu, Syaqilla terpaksa menyiapkannya seorang diri. Walaupun berseorangan, dia percaya bahawa dia boleh melakukan yang terbaik. Aku mesti buktikan pada mereka! Azam Syaqilla yang ditanamnya dalam-dalam di dalam hati.
***
Syaqilla melihat suasana sekeliling dari dalam kapsul itu. Terasa bangga apabila dia menjadi orang pertama dalam ekspedisi meneroka angkasa lepas dengan menggunakan lif angkasa ciptaannya ini. Ya, lif angkasa lepas! Walaupun penggunaan lif ini berada dalam peringkat percubaan, tapi Syaqilla amat yakin dan pasti bahawa ciptaannya ini selamat untuk dinaiki. Dia mengambil risiko ini kerana ingin membuktikan kepada pihak Agensi Angkasa lepas amerika Syarikat (NASA) yang tidak mempercayai kebolehan ciptaannya. Dan yang lebih penting, jika projek ini berjaya, lif tersebut boleh membawa seluruh rakyat dari pelusuk dunia yang ingin melihat sendiri betapa indah dan hebatnya alam cakerawala ciptaan Yang Maha Berkuasa.
Lif angkasa ini merupakan satu-satunya lif ke angkasa lepas seraus peratus ciptaan anak Malaysia. Projek ini telah menelan belanja sekitar RM40 bilion, melebihi budget yang dirancangkan iaitu sebanyak RM2 bilion. Sebenarnya, projek Elevator:2020 ini bertujuan untuk menggalakkan pembabitan orang ramai dan ahli akademik dalam projek tersebut. Pembabitan saintis dalam projek ini disebabkan oleh kemajuan dalam bidang teknologi karbon nanotiub yang memberi kepada terbinanya lif angkasa lepas ini.
Dengan menggunakan bahan karbon yang kukuh dan ringan, satu batabg atau dikenali sebagai ‘ribbon’ menjadi platform untuk meletakkan lif tersebut yang kemudiaanya mendaki setinggi 99,779.33 kilometer ke angkasa. ‘Ribbon’ itu mempunyai 0.91 meter lebar dan ketebalannya lebih nipis daripada kertas. Ia diperbuat daripada bahan yang dikenali sebagai ‘Carbon Nanotube Composite’.
Nanotiub merupakan kepingan ‘graphite’ – karbon yang bersilang – yang akan bergolek menjadi tiub yang panjang dengan diameternya diukur dalam ukuran nanometer. 1 nanometer bersamaan dengan 0.000000001 meter. Karbon ini mempunyai kekuatan 100 kali ganda lebih kuat daripada besi tetapi adalah lebih ringan. System itu seberat 1,500 tan dan boleh mengangkut barangan seberat 16 tan setiap hari, contohnya digunakan untuk mengangkut satelit atau peralatan untuk stesen di angkasa.
Penghujung ‘ribbon’ itu akan terhayun di angkasa dengan mempunyai pemberat (atau pangkalan) di angkasa dengan pemberat kira-kira 20 tan dan berada melebihi orbit. Disebabkan faktor graviti, ia umpama menggantung benang dari bumi dan tertarik dengan berat di angkasa.
Kenderaan elektrik berbentuk kapsul yang sedang dinaiki Syaqilla ini dikenali sebagai ‘pendaki’. Ia akan mendaki melalui ‘ribbon’ atau tiang tersebut menggunakan kuasa elektrik daripada panel solar atau pancaran cahaya dari Bumi. ‘Pendaki’ itu mampu bergerak melalui ‘ribbon’ itu dengan kelajuan 200 kilometer sejam. Objek-objek di angkasa juga boleh dielakkan dengan mengubah kedudukan kapal atau pemberat di hujungnya.
Dari dalam kapsul tersebut, pelbagai panorama menarik dapat dijamah oleh kedua belah mata Syaqilla. Semua yang berada di sekelilingnya telah membuatkannya berasa teruja dengan keindahan yang gagal diungkapkan dengan kata-kata. Artikel tentang kewujudan sebuah planet paling besar yang selalu dibaca di Internet dan dada-dada akhbar majalah aeroangkasa kini berada di depan matanya.
Syaqilla pernah melihatnya dengan menggunakan Subaru Telescope iaitu sebuah teleskop yang berkualiti dan berkuasa tinggi. Ketika itu, secara kebetulan dia perlu menjalankan tugas di Hawaii dan ahli astronomi di situ buat pertama kalinya berjaya mengesan planet unik tersebut.
Ya, planet extrasolar dengan teras yang keras itu memang besar! Teras yang sangat besar itu menyamai saiz sebesar 70 buah bumi dan ia mungkin terbentuk daripada pelanggaran dengan planet lain. Planet ini telah ditemui di sekitar bintang yang dikanali sebagai HD 149026, yang mana kaya dengan elemen yang lebih berat berbanding hidrogen dan helium.
Tetapi, baru-baru ini ahli astronomi di Arizona dengan menggunakan robot teleskopnya menyedari bahawa 0.3 peratus kecerahan bintang itu semakin berkurangan setiap 2.87 hari. Kesuraman itu menunjukkan bahawa planet tersebut merupakan sebahagian daripada lapan kumpulan elit yang telah dikenali sebelum ini. Ia melintas secara terus di antara kebanyakan bintang dan Bumi sepanjang pengorbitan mereka. Lintasan itu akan mendedahkan secara tepat saiz fizikal dan berat planet tersebut yang kemudiannya boleh digunakan untuk menentukan kepadatannya.
Jadi, hasilnya diperoleh kemudiannya dan adalah sesuatu yang mengejutkan yang mana planet tersebut adalah kira-kira 3 suku daripada planet Jupiter. Akan tetapi, kepadatannya menunjukkan sebahagian atau dua pertiga daripada beratnya disebabkan oleh elemen berat yang kebanyakannya dalam bentuk teras yang keras.
Syaqilla berfikir sendirian. Dalam diam, dia mengagumi keagungan ciptaan-Nya. Walaupun dia merupakan salah seorang di antara barisan pakar astronomi negara sekarang dan terlalu maklum dalam hal-hal yang berkaitan dengan dunia angkasa lepas, tapi Syaqilla tetap berasa teruja lebih-lebih lagi apabila dia dapat melihat sendiri suasana sebenar alam angkasa lepas. Syaqilla bersyukur kepada Allah kerana dia telah diberikan peluang ini.
Tiba-tiba, Syaqilla merasakan bahawa lif angkasa itu bergegar. Semakin lama semakin kuat menyebabkan dia gagal untik mengawal diri. Tanpa disedarinya, struktur kapsul yang dinaikinya itu mulai kemek seperti dihentam di sana sini. Syaqilla mula dirundung rasa cemas. Adakah lif itu mengalami tekanan daripada luar? Syaqilla bermonolog sendiri. Tanpa membuang masa lagi, dia terus menghubungi pangkalan di Bumi untuk mendapatkan bantuan. Butang berwarna merah tanda kecemasan itu segera ditekan berkali-kali namun tiada sebarang jawapan yang diterimanya. Syaqilla cuba untuk menenangkan perasaannya sendiri yang mula berkecamuk akibat terlalu cemas.
Tanpa diduga, muncul satu cahaya berwarna kuning keemasan berbentuk bulat dari arah bertentangan dengan kapsul yang diselaputi kaca lutsinar berkualiti tinggi itu. Syaqilla cuba meneliti cahaya tersebut dengan menggunakan teleskop berkuasa tinggi bagi memastikan apakah objek yang bergerak terlalu laju itu sebenarnya.
“Mateor!” Jeritnya kerana tidak percaya dengan apa yang dilihatnya tadi. Meteor tersebut sedang menuju ke arah Bumi tapi berkemungkinan besar akan bertembung dan melanggar dengan kapsul ini. Walaupun meteor tersebut boleh dihalang daripada merentasi atmosfera Bumi tetapi kelajuannya yang mencapai tahap yang paling maksima melebihi kelajuan meteor sebelum ini, dan proses untuk menghalang meteor tersebut mungkin gagal walaupun dengan menggunakan teknologi tercanggih.
Syaqilla masih lagi berusaha untuk menghubungi pihak pangkalan namun masih lagi gagal. Dalam keadaan cemas begitu, dia perlu mendapatkan bantuan daripada pihak pangkalan supaya mengalihkan pemberat ke arah yang lebih selamat supaya kedudukan lif tersebut tidak berada dalam lintasan meteor itu. Cahaya yang amat cerah dan terang itu terus-terusan menusuk ke dalam kornea mata Syaqilla. Pada waktu itu, aku hanya berserah kepada Allah dan…
***
“Sekian sahaja penerangan saya mengenai projek Elevator:2020 ini. Terima kasih,” ujar Syaqilla sambil menundukkan kepala sedikit tanda mengakhiri persembahan projek Sainsnya. Seraya itu, dia juga menerima tepukan yang paling gemuruh hingga menggegarkan jantungnya daripada semua penghuni Tingkatan 3 Musytari. Masing-masing terpegun dengan projek yang dihasilkan oleh Syaqilla lebih-lebih lagi En. Samuel Chong. Rakan-rakan kelasnya yang lain tidak percaya bahawa Syaqilla akan menghasilkan sebuah projek Sains yang sebegitu hebat.
“Bagus, Syaqilla! Saya tidak sangka yang awak dapat menghasilkan projek sebagus ini. Saya bangga dengan awak!” puji En. Samuel lagi tanpa henti-henti tersenyum. Bangga dengan pencapaian pelajarnya yang mengejutkan itu.
Sejak daripada itu, Syaqilla tidak lagi dipandang rendah oleh sesiapa lagi mahupun dari kalangan rakan-rakannya. Kemampuannya memang tidak dapat disangkal lagi walaupun dia memiliki kekurangan iaitu menghidap haemofilia. Tetapi itu semua tidak mematahkan semangatnya untuk terus berusaha dan mendapatkan yang terbaik untuk dirinya.
Selain menerima markah tertinggi dalam projek Sains itu, Syaqila juga telah mewakili sekolah dalam Pertandingan Sains, Teknologi, dan Inovasi serta menjadi johan sekaligus membawanya pergi ke peringkat daerah dan terus cemerlang hingga ke peringkat kebangsaan.
Bakatnya dalam bidang penulisan kreatif juga telah dimanfaatkan sebaiknya. Kesinambungan daripada projek Sainsnya itu, Syaqilla telah menghasilkan sebuah cerpen bertajuk Elevator:2020 dan telah menyandang gelaran johan dalam Pertandingan Menulis Cerpen Sains. Selepas kejayaan demi kejayaan yang dirangkul oleh Syaqilla, ramai yang mula membuka mata dengan kemampuan yang dimilikinya.
Syaqilla mengangkat kedua belah tangannya. Berdoa dan memohon kepada Allah serta mensyukuri di atas segala nikmat yang telah diberikan kepadanya….

0 comments: